Thursday, 31 March 2011

tsunami

11.03.2011 lalu adalah hari yang tidak dapat dilupakan oleh seluruh rakyat Jepun lebih-lebih lagi bagi yang tinggal di kawasan Timur Laut negara berkenaan. Sekelip mata ombak tsunami setinggi 10 meter membadai lalu menghancurkan semua di hadapannya.  Lebih daripada 10,000 orang terkorban ataupun hilang tidak dijumpai dan Bank Dunia pula menganggarkan kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di kawasan terbabit mencecah RM700 bilion (US$235 bilion) dan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk membangun semula.
Belum pun reda daripada trauma rempuhan tsunami rakyat Jepun kini terdedah pula kepada kesan langsung daripada radiasi loji tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi yang juga rosak teruk akibat tsunami. Malaysia masih dipelihara daripada sebarang kejadian gempa bumi, tsunami, letupan gunung berapi dan huru-hara yang melanda sebahagian masyarakat dunia. Rakyat negara ini masih selamat, bebas bergerak ke sana ke mari, makanan dan segala keperluan asas mencukupi. Segala nikmat ini hendaklah disyukuri dengan memperbanyak melakukan ketaatan sambil berharap belas kasihan dan rahmat daripada Yang Maha Kuasa. Apatah lagi pada akhir zaman saat dunia semakin uzur dan hampir kepada kemusnahan. 

Friday, 25 March 2011

Pembangunan Lestari

KONSEP PEMBANGUNAN  LESTARI
 Pembangunan mapan atau lestari bermaksud pembangunan yang memenuhi keperluan semasa tanpa memusnahkan atau memperjudikan keperluan generasi akan datang. Kelestarian merupakan satu paradigma pemikiran masa depan (futuristik) dengan aspek -aspek keseimbangan persekitaran, sosial dan ekonomi diambil kira dalam merancang pembangunan dan penaik tarafan kualiti kehidupan. Pembangunan Mapan adalah suatu pembangunan yang dijalankan bagi memenuhi keperluan pada masa kini tanpa mengorbankan keperluan pada masa akan datang. Pembangunan bandar yang mampan harus dijalankan dengan mengambil kira keupayaan menampungnya pengambilan sumber, pengagihan bahan buangan serta kadar pencemaran yang dicetuskan ke atas bandar dan kawasan sekelilingnya.
Pembangunan bandar yang mampan perlulah mengambil kira keadilan sosial, keperluan manusia asas, kesihatan awam, kesedaran persekitaran dari segi ruang dan masa. Salah satu cara untuk mencapai pembangunan mampan tersebut adalah melalui kesihatan ekonomi bandar. Justeru itu, aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan dan kemiskinan perlu diambil perhatian dan daripadanya peranan aktiviti informal serta perdagangan skala kecil (petty commodity sector) menjadi penting. Pembangunan mapan juga merujuk kepada perangkaan langkah-langkah yang perlu diambil perhatian dan tindakan hari ini demi memastikan supaya isu alam sekitar yang bersifat global seperti perubahan cuaca, kesan rumah hijau, tekanan sosial dan sebagainya yang dideritai hari ini tidak sesekali menjejas dan mengancam kehidupan masa hadapan.